Skip to main content

Jenis komunikasi dan kepentingannya dalam kehidupan pelajar.

Jenis komunikasi dan kepentingannya dalam kehidupan pelajar.

Komunikasi interpersonal

Komunikasi interpersonal ialah komunikasi yang melibatkan dua individu. Wood (2002) mendefinisikan komunikasi interpersonal sebagai satu proses interaksi yang dipilih, sistematik, unik, dan berterusan di antara individu yang menggambarkan dan membina pengetahuan peribadi tentang individu lain serta membina satu maksud yang bersama. Manusia mempunyai pilihan untuk memilih individu-individu tertentu untuk berkomunikasi. Buber (1970) berpendapat bahawa dalam membentuk jalinan hubungan yang akrab seseorang itu akan mengambil masa yang lama, tenaga dan keberanian dalam menawarkan keakraban seseorang. Komunikasi interpersonal adalah suatu proses yang sistematik. Kebanyakan komunikasi interpersonal yang berlaku akan mempengaruhi keputusan dan maksud yang diberikan terhadap komunikasi itu. Komunikasi interpersonal mewujudkan jalinan hubungan yang rapat dengan individu tertentu yang akan melangkaui peranan dan peraturan sosial yang sedia ada. Komunikasi interpersonal juga merupakan proses yang berterusan. Dalam komunikasi interpersonal setiap individu berperanan sebagai pengirim dan penerima mesej.  Komunikasi interpersonal akan membentuk pengetahuan tentang peribadi seseorang individu. Interaksi berlaku apabila kita mengetahui sesuatu tentang diri seseorang itu. Perkara paling utama dalam komunikasi interpersonal adalah makna atau maksud yang dikongsi bersama oleh individu (Duck, 1994).

Terdapat pelbagai kepentingan komunikasi interpersonal terhadap kehidupan pelajar. Salah satu daripadanya adalah untuk memberi dan menerima maklumat. Dalam komunikasi interpersonal, terdapat proses penghantaran mesej dan menerima mesej. Ia boleh dijalankan menggunakan kaedah secara langsung dan tidak langsung. Komunikasi interpersonal yang berjaya adalah apabila penghantar mesej dan penerima memahami mesej tersebut. Rakhmat (2001), kepercayaan merupakan faktor penting yang dapat mempengaruhi komunikasi interpersonal. Nilai kepercayaan dalam diri individu terhadap individu yang lain adalah penting. Dalam hubungan interpersonal, percaya dimaksudkan sebagai bentuk keyakinan terhadap kelakuan seseorang untuk meraih tujuan yang telah ditetapkan dimana terdapat ketidakpastian dalam pencapaiannya serta situasi yang berisiko. Sebagai contoh, bagi seorang pelajar, komunikasi interpersonal ini digunakan dengan kerap terutamanya dalam tugasan yang perlu diselesaikan bersama ahli kumpulan. Setiap kumpulan akan menyuarakan pendapat dan buah fikiran masing-masing mengenai topik yang hendak dibincangkan. Apabila individu dalam kumpulan tersebut mempunyai kepercayaan yang mendalam terhadap ahli kumpulan yang lain, maka maklumat yang hendak disampaikan akan dapat diterima dengan mudah dan senang hati oleh setiap daripada mereka. Akan tetapi, sekiranya ada individu dalam kumpulan tersebut tidak mempunyai kepercayaan terhadap individu lain, maka maklumat yang hendak disampaikan menjadi lebih sukar sehingga berlaku perselisihan faham atau ketidakpastian. Oleh itu, setiap individu harus mempercayai sesama mereka agar proses menyampaikan dan menerima maklumat dapat dijalankan dengan sempurna.

Seterusnya, melalui komunikasi interpersonal juga, kita dapat berkenalan dan membina hubungan dengan orang lain. Hal ini kerana, komunikasi berperanan untuk menghubungkan kelompok-kelompok dalam masyarakat menerusi perbualan dalam pelbagai perkara. Komunikasi interpersonal dapat menjalinkan hubungan yang harmoni antara individu dengan individu lain di sekitarnya. Kita berkomunikasi dengan setiap individu hampir setiap hari dalam pelbagai perkara dan dengan tujuan yang tertentu. Komunikasi interpersonal amat penting dalam kehidupan seharian tidak kira dimana kita berada kerana kepakaran dan pengetahuan bagaimana untuk berkomunikasi amat penting bagi menjamin kesefahaman antara satu sama lain. Asas komunikasi interpersonal dalam membina hubungan dengan orang lain adalah melalui komunikasi verbal dan non-verbal. Melalui komunikasi jenis ini, kita akan memulakan sebuah perhubungan misalnya melalui sebuah senyuman dan diikuti dengan pertanyaan mengenai individu yang ingin kita kenali tersebut. Sebagai contoh, para pelajar baru yang menjalani orientasi pada minggu pertama masuk ke universiti akan mempraktikkan perkara tersebut. Selalunya, mereka akan mulakan perkenalan dengan sebuah senyuman diikuti soalan asas seperti dari mana individu tersebut berasal dan apakah kursus yang diambil. Kemudian hubungan tersebut akan berkembang sedikit demi sedikit dan mengambil masa. Satu teori yang dapat menghuraikan proses ini adalah teori penembusan sosial (Irwin Altman;1973, Dalmas Taylor;1973). Teori ini menjelaskan tentang proses menjalinkan hubungan yang lebih mendalam dengan orang lain melalui pendedahan diri secara bersama. Melalui teori ini, seseorang individu dengan individu lain akan menggunakan komunikasi interpersonal untuk mengenali diri masing-masing. Perhubungan ini akan berkembang sedikit demi sedikit sehingga mencapai tahap depenetrasi sekiranya kedua-dua individu tersebut sudah tidak mempunyai persefahaman lagi. Justeru itu, melalui komunikasi interpersonal, individu dapat berkenalan dengan individu yang lain.

Di samping itu, komunikasi interpersonal dapat digunakan untuk membuat keputusan dan menyelesaikan masalah. Keputusan yang hendak dibuat bagi sesuatu masalah selalunya tidak boleh difikirkan sendirian. Ketika seseorang individu mempunyai masalah, individu tersebut tidak boleh berfikir dengan baik tentang keputusan atau penyelesaian masalah yang hendak dibuatnya. Selalunya, individu yang mempunyai masalah akan menceritakan masalah tersebut kepada individu yang lain. Kedua-dua individu tersebut perlu mempunyai persefahaman untuk mendengar masalah itu seterusnya cuba untuk menyelesaikan masalah tersebut. Komunikasi interpersonal memerlukan setiap individu yang terlibat dalam komunikasi tersebut untuk mempunyai persefahaman antara mereka. Proses menceritakan masalah yang dihadapi tersebut akan lebih mudah sekiranya kedua-dua individu itu mempunyai persefahaman antara satu sama lain. Sebagai contoh, seorang pelajar mempunyai masalah mengenai pelajarannya. Dia boleh berjumpa dengan pensyarahnya untuk menceritakan masalah tersebut. Pensyarah yang memahami masalah pelajar tersebut akan mendengar pelajar tersebut menceritakan masalahnya lalu akan cuba mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi oleh pelajar tersebut. Persefahaman yang baik antara individu dapat menjadikan komunikasi interpersonal itu lebih berkesan. Justeru, komunikasi interpersonal amat berkesan dalam membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.

Selain itu, melalui komunikasi interpersonal, seseorang individu dapat mengawal kuasa. Setiap individu memainkan peranan sebagai penerima dan sumber dalam proses interaksi bersemuka. Interaksi semula jadi dalam komunikasi interpersonal memberikan gambaran  bahawa setiap individu yang terlibat dalam proses interaksi ini bertanggungjawab kepada keberkesanan dalam interaksi tersebut. Dalam mengawal kuasa yang ada pada seseorang individu, individu tersebut perlu menyampaikan maklumat dengan jelas dan berkesan kepada individu lain supaya mesej yang hendak disampaikan itu jelas dan dapat difahami. Kegagalan menyampaikan maklumat dengan jelas menyebabkan individu yang menerima mesej tersebut tidak dapat menjalankan tugasan yang diberi dengan sempurna. Contohnya, seorang pensyarah dapat mengarahkan pelajarnya menyiapkan sesuatu tugasan dalam tempoh masa yang tertentu. Ini kerana beliau mempunyai kuasa dalam bidang tersebut. Pensyarah tersebut akan menggunakan komunikasi interpersonal untuk menyampaikan mesej kepada pelajarnya sewaktu berada di dalam kelas.

Sebagai kesimpulan, perkara utama yang terdapat dalam komunikasi interpersonal adalah memilih, sistematik, unik, proses yang berterusan, interaksi, individu, pengetahuan peribadi dan maksud. Melalui perkara inilah yang akan dapat membezakan sama ada interaksi itu merupakan interaksi interpersonal ataupun tidak. Komunikasi interpersonal ini mempunyai pelbagai fungsi dan manfaatnya kepada pelajar dalam kehidupan seharian seperti memberi dan menerima maklumat, berkenalan dan membina hubungan dengan orang lain, membuat keputusan dan menyelesaikan masalah serta mengawal kuasa. Komunikasi interpersonal ternyata amat penting dalam kehidupan pelajar.


RUJUKAN

Buku
Hartley P. (1993). Interpersonal Communication (3rd ed.). Routledge, New York: T. J. Press
Mohd Baharudin Othman, Mohd Khairie Ahmad. (2003). Pengantar Komunikasi. (Edisi Pertama: Cetakan Keempat). Universiti Utara Malaysia, Sintok, Kedah: UUM Press.
Artikel Jurnal
Adigwe P, Okoro E (2016) Human Communication and Effective Interpersonal Relationships: An Analysis of Client Counseling and Emotional Stability. Int J Econ Manag Sci 5:336. doi:10.4172/2162-6359.1000336
Wikipedia
Social Penetration Theory. (n.d.). In Wikipedia. Retrieved November 24, 2017, from https://en.wikipedia.org/wiki/Social_penetration_theory 

Comments

Popular posts from this blog

Pendekatan Sumber Manusia dan Pendekatan Hubungan Manusia. (Human Resource Approach and Human Relations Approach)

Banding da n bincangkan DUA (2) pendekatan utama dalam komunikasi organisasi; Pendekatan Sumber Manusia dan Pendekatan Hubungan Manusia. Pendekatan sumber manusia  merujuk kepada cara dan pendekatan yang digunakan oleh organisasi untuk mengurus dan mengawal aktiviti yang berkaitan dengan sumber manusia dalam organisasi agar selari dan mencapai matlamat organisasi (Faridahwati Mohd Shamsudin et al, 2006). Pendekatan sumber manusia pada asasnya menggabungkan kedua-dua pendekatan, klasik dan manusia, yang menyatakan bahawa individu mempunyai keperluan dan perasaan yang perlu dipertimbangkan dan mereka tidak boleh dilupakan dalam mencapai matlamat sesebuah organisasi. Merujuk kepada Elton Mayo (1880-1949) melalui kajiannya iaitu pendekatan Hawthorne, pendekatan hubungan manusia  pula merupakan istilah umum yang sering dipakai untuk menggambarkan cara interaksi pengurus dengan orang bawahannya secara manusiawi. Pendekatan hubungan manusia memberi tumpuan terhadap aspek sosial d...

FUNGSI KOMUNIKASI DAN KEPENTINGANNYA KEPADA MASYARAKAT

FUNGSI KOMUNIKASI DAN KEPENTINGANNYA KEPADA MASYARAKAT Komunikasi didefinisikan sebagai proses pemahaman maksud yang disampaikan oleh pengirim kepada penerima dengan tujuan kebaikan bersama. Komunikasi adalah proses dimana individu dalam hubungan, kumpulan, organisasi dan masyarakat bertindak balas dan membuat mesej untuk menyesuaikan diri dengan alam sekitar dan satu sama lain (Ruben & Steward, 1998). Komunikasi memberikan suatu informasi yang diperlukan dari setiap individu ataupun kelompok dalam mengambil suatu keputusan dengan meneruskan data untuk menilai beberapa pilihan yang akan diputuskan. Komunikasi memainkan peranan untuk mengawal tingkah laku orang atau anggota lain dengan cara yang mesti dipatuhi oleh semua pihak. Menurut Carter (1973), komunikasi adalah tingkah laku. Apabila seseorang individu berkomunikasi, individu tersebut berusaha untuk mencari maklumat yang boleh digunakan bagi mengatasi permasalahan yang dihadapinya supaya ia mempunyai satu gambaran yang l...

Teknologi Media dan Revolusi Industri 4.0

Teknologi merupakan satu konsep yang luas dan mempunyai lebih daripada satu takrifan. Takrifan yang pertama ialah pembangunan dan penggunaan alatan, mesin, bahan dan proses untuk menyelesaikan masalah manusia. Istilah teknologi selalunya berkait rapat dengan rekaan dan gadget menggunakan prinsip sains dan proses terkini. Namun, rekaan lama seperti tayar masih menunjukkan teknologi. Maksud yang kedua digunakan dalam bidang ekonomi, yang mana teknologi dilihat sebagai tahap pengetahuan semasa dalam menggabungkan sumber bagi menghasilkan produk yang dikehendaki. Oleh itu, teknologi akan berubah apabila pengetahuan teknikal kita berubah. ( Amirul Naim bin Hashim & Muhammad Shafiq bin Md Ithnan, 2015 ). Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0) melibatkan teknologi automasi memberi cabaran baharu kepada semua sektor di negara ini yang memerlukan mereka melakukan perubahan seiring dengan transformasi digital itu untuk kekal berdaya saing. Apakah punca industri berubah? Terdapat emp...