FUNGSI KOMUNIKASI DAN KEPENTINGANNYA KEPADA MASYARAKAT
Komunikasi didefinisikan sebagai proses pemahaman maksud yang disampaikan oleh pengirim kepada penerima dengan tujuan kebaikan bersama. Komunikasi adalah proses dimana individu dalam hubungan, kumpulan, organisasi dan masyarakat bertindak balas dan membuat mesej untuk menyesuaikan diri dengan alam sekitar dan satu sama lain (Ruben & Steward, 1998). Komunikasi memberikan suatu informasi yang diperlukan dari setiap individu ataupun kelompok dalam mengambil suatu keputusan dengan meneruskan data untuk menilai beberapa pilihan yang akan diputuskan. Komunikasi memainkan peranan untuk mengawal tingkah laku orang atau anggota lain dengan cara yang mesti dipatuhi oleh semua pihak. Menurut Carter (1973), komunikasi adalah tingkah laku. Apabila seseorang individu berkomunikasi, individu tersebut berusaha untuk mencari maklumat yang boleh digunakan bagi mengatasi permasalahan yang dihadapinya supaya ia mempunyai satu gambaran yang lebih tepat tentang alam persekitaran yang perlu dihadapi.
Secara umumnya, komunikasi mempunyai pelbagai fungsi. Menurut Laswell dan Wright, fungsi komunikasi boleh dikategorikan kepada empat bahagian iaitu penyebaran informasi dan amaran, menjalinkan hubungan dengan kelompok-kelompok di dalam masyarakat, transmisi budaya masyarakat dan hiburan (Baran & Davis, 2000).
Pertama, penyebaran informasi dan amaran. Komunikasi berfungsi untuk menyebarkan informasi semasa dan terkini mengenai keadaan persekitaran manusia. Komunikasi juga bertindak untuk menyampaikan amaran atau peringatan kepada sekelompok masyarakat. Komunikasi ini tertumpu kepada penyampai atau sumber maklumat. Penyampaian mesej adalah bertujuan untuk memberitahu. Contohnya, apabila terjadi sesuatu perkara kecemasan dalam sesebuah kelompok masyarakat seperti kebakaran, banjir, atau ketiadaan bekalan air dan elektrik, terdapat individu yang akan menyampaikan maklumat tersebut kepada kumpulan masyarakat yang terlibat. Penyebaran informasi dan amaran tidak berlaku semasa kecemasan sahaja. Komunikasi boleh terjadi walaupun tiada kecemasan, contohnya ketika berbual mengenai harga barangan yang dibeli dan perihal yang terjadi di sekitar kawasan tempat tinggal. Fungsi komunikasi sebagai penyebar informasi dan amaran ini dapat menjadikan masyarakat lebih peka terhadap keadaan sekeliling.
Kedua, menjalin hubungan dengan masyarakat. Komunikasi juga berperanan dalam menghubungkan kelompok dalam masyarakat melalui isu-isu yang dibincangkan dalam komuniti tersebut. Isu yang menjadi pilihan dalam perbincangan selalunya melibatkan kepentingan dan keperluan kelompok tersebut. Contohnya, isu yang menjadi topik perbualan adalah seperti sambutan Hari Kebangsaan dan hari perayaan bagi setiap kaum dalam komuniti tersebut. Apabila tibanya hari-hari perayaan antara kaum di negara ini, setiap golongan masyarakat akan sama-sama berkumpul dan meraikannya bersama-sama. Dalam perkara ini, wujud komunikasi antara satu sama lain tentang pelbagai perkara. Masyarakat akan lebih mengenali antara satu sama lain dengan cara berkomunikasi antara mereka. Isu lain yang sering menjadi topik perbualan juga adalah berkaitan politik dalam dan luar negara, isu ekonomi, agama dan sebagainya. Melalui komunikasi harian antara kelompok masyarat tentang isu-isu tertentu, hubungan antara masyarakat menjadi lebih erat. Hal ini membuktikan bahawa melalui komunikasi, masyarakat akan dapat mengenali setiap daripada mereka dengan lebih dekat dan secara tidak langsung hubungan perpaduan dalam negara menjadi lebih kukuh.
Ketiga, transmisi budaya masyarakat. Dalam era globalisasi ini, budaya masyarakat dari setiap pelosok negara telah berjaya dipaparkan oleh media massa menerusi siarannya yang pelbagai. Melalui komunikasi berkonsepkan media massa ini, penyampaian yang diberikan adalah bersifat sehala. Masyarakat akan menerima mesej yang disampaikan kepada mereka. Sebagai contoh, melalui iklan di siaran televisyen, radio dan internet, kita dapat mengenali budaya dan cara hidup masyarakat di Malaysia yang mempunyai pelbagai bangsa yang unik tetapi masih mengamalkan sikap toleransi serta perpaduan yang kukuh. Masyarakat akan lebih mengenali budaya dan adat resam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum ini. Di samping itu, kita juga dapat meneroka budaya hidup masyarakat luar seperti dari barat dan timur yang agak berbeza daripada budaya masyarakat di Malaysia. Kita boleh mengakses informasi yang ingin diketahui melalui laman sesawang atau menonton di televisyen dan mendengar dari corong radio. Melalui cara ini masyarakat dapat memperoleh pelbagai maklumat mengenai budaya luar dan memudahkan mereka mengadaptasinya apabila mereka berkunjung ke negara luar. Komunikasi tetap berlaku dimana penyampai atau sumber menyampaikan maklumat melalui media massa yang menjadi saluran penyampai dan penerima iaitu masyarakat menerima mesej yang disampaikan itu sesuai dengan model SMCR (Berlo, 1960).
Keempat, hiburan. Hiburan adalah sesuatu yang dapat menghiburkan hati. Setiap hari kita disajikan dengan pelbagai bentuk hiburan melalui media massa. Fungsi hiburan sebagai penghibur telah banyak membantu kita menangani tekanan daripada masalah yang dihadapi dalam kehidupan seharian. Contohnya, kita dapat berhibur melalui media cetak mahupun media elektronik seperti surat khabar, majalah, saluran televisyen dan internet yang menyediakan hiburan berbentuk lisan dan bukan lisan. Rancangan hiburan disediakan sepanjang masa dan individu bebas menentukan untuk memilih yang terbaik untuknya. Komunikasi melalui hiburan juga berkesan dari segi penyampaian mesej. Contoh seperti dalam nyanyian dimana mesej yang ingin disampaikan ada tertulis dalam lirik lagu tersebut. Masyarakat yang mendengar lagu tersebut akan mendapat mesej yang ingin disampaikan oleh penulis liriknya dan kadang kala mesej tersebut mempunyai persamaan dengan kisah hidup individu yang mendengarnnya.
Kesimpulannya, komunikasi mempunyai pelbagai fungsi seperti menyebarkan informasi dan amaran, menjalin hubungan dengan masyarakat, transmisi budaya masyarakat, dan sebagai hiburan. Kepelbagaian fungsi komunikasi ini juga memberi banyak manfaat kepada masyarakat yang memang berkomunikasi dalam pelbagai perkara dalam kehidupan seharian.
Rujukan
Laman web
Communication. (n.d.) Dalam Merriam-Webster’s online dictionary (11th ed.). Diakses daripada https://www.merriam-webster.com/dictionary/communication
Hiburan. (n.d.) Dalam ArtiKata.com [Blog post]. Diakses daripada https://www.artikata.com/arti-365209-hiburan.html
Sofyan Hadi. (2015, November 9). Pengertian Komunikasi, Fungsi, Tujuan dan Syarat- syaratnya [Blog post]. Diakses daripada https://www.satujam.com/pengertian- komunikasi/
Buku
Mohd Baharudin Othman, Mohd Khairie Ahmad. (2003). Pengantar Komunikasi (Edisi keempat). Universiti Utara Malaysia, Sintok: UUM Press.
Comments
Post a Comment